Thailand mempertahankan pingat emas dalam acara sepak takraw regu wanita selepas menewaskan Malaysia 21-10, 21-12 dalam perlawanan terakhir liga sepusingan Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.

Kemenangan ketiga itu membolehkan skuad Gajah Perang itu mengumpul enam mata sementara Malaysia menduduki tangga kedua untuk perak.

Malaysia memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang dimenangi dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu ketika Thailand dan Myanmar masing-masing meraih emas dan perak.

"Kami sudah sedia maklum bahawa Thailand merupakan sebuah pasukan yang kuat, apapun kami telah memberi cabaran yang hebat.

"Kami akur dengan kekalahan ini dan tahniah kepada pemain Malaysia," kata jurulatih pasukan, Mohd Fikri Mohd Nor.

"Pingat perak ini sangat bermakna kepada kami kerana dalam edisi terdahulu, kami meraih gangsa," kata pemain negara, Nurul Izzatul Hikmah Zulkifli.

Semalam, Malaysia menewaskan Filipina 21-13, 21-17 dalam perlawanan pertama sebelum aksi kedua dengan Indonesia berakhir dengan keputusan keluar gelanggang pasukan lawan itu pada set kedua.

Tindakan itu menghadiahkan Malaysia kemenangan percuma, dan menjadikan pingat perak dalam genggaman skuad bimbingan Fikri.

Sementara itu, Indonesia terpaksa akur berkongsi pingat gangsa dengan Filipina.

Dengan menggunakan format liga sepusingan, acara regu wanita ini hanya disertai empat negara tersebut.

Setiap kemenangan meraih dua mata dan kutipan tertinggi akan menentukan kedudukan pingat.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.