Skuad sepak takraw antara regu lelaki negara bermula langkah kanan menerusi kemenangan straight set 21-11, 21-7 ke atas Brunei dalam aksi sulung di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Acara antara regu lelaki diharapkan menjadi sandaran emas buat negara selepas ketiadaan beberapa pasukan utama seperti Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Jurulatih negara, Mohd Rasidi Nordin, membariskan Syahir Rosdi selaku tekong bersama dua lagi rakan sepasukan, Hanafiah Dollah dan Farhan Adam, selaku apit kiri serta kanan negara.

Berdepan Brunei, skuad negara tidak berdepan masalah apabila berjaya memenangi set pertama melalui kemenangan 21-11.

Bagaimanapun, khidmat Hanafiah terpaksa dikeluarkan dalam set berikutnya ekoran kecederaan dan digantikan oleh Mohd Khairol Zaman.

Ketiadaan Hanafiah tidak menjejaskan rentak skuad takraw negara, sebaliknya mereka terus mencipta kemenangan 21-7 untuk menamatkan perlawanan.

Mereka akan turun beraksi buat kali kedua petang ini, bertemu Kemboja dalam aksi kedua round-robin.

"Alhamdulilah, pemain dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin. Banyak mata dapat dikutip menerusi servis.

“Mungkin kerana Brunei kurang memberikan saingan, sekaligus membuatkan Malaysia mudah mengatasi mereka." ujar Rasidi.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.