Malaysia menamatkan acara sepak takraw beregu berpasukan lelaki dengan pingat gangsa selepas tewas 2-1 di tangan Myanmar di peringkat separuh akhir Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.

Ia acara ketiga kem sepak takraw negara terlepas emas selepas turut memenangi gangsa acara regu berpasukan lelaki dan perak bagi regu wanita.

Setakat ini, Malaysia hanya menjadi pasukan terbaik dalam chinlone selepas meraih emas disiplin linking yang hanya disertai empat negara tanpa Myanmar dan Thailand.

Walaupun tewas 3-0 kepada Thailand malam tadi, keputusan Kemboja menarik diri daripada saingan Kumpulan A regu berpasukan lelaki membolehkan Malaysia mara ke separuh akhir.

Dalam perlawanan hari ini, beregu pertama negara yang menampilkan Muhammad Afifuddin dan Amirul Zazwan, tidak mampu menahan asakan Aung Myo Swe dan Thant Zin Oo dengan tumpas 16-21, 22-24.

Selepas itu, Malaysia berjaya bangkit menerusi beregu kedua, Mohammad Kamal Aizzat Azmi dan Mohamad Suhairi, apabila menang 21-14, 21-18, sekaligus mengikat kedudukan 1-1.

Perlawanan ketiga yang juga aksi penentuan ke final, menjadi tugas berat buat dua pemain negara, Zuleffendi Sumari dan Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi.

Bagaimanapun, ketangkasan lawan yang menurunkan Zin Min Oo dan Aung Pyae Tun sukar ditandingi untuk pemain negara tumpas 21-23, 9-21 dan membawa kepada keputusan 2-1 berpihak kepada Myanmar.

Enam negara bertanding dalam acara ini, dengan Thailand, Malaysia dan Kemboja berada dalam Kumpulan A sementara Myanmar, Indonesia dan Filipina bersaing dalam Kumpulan B.

Dengan menggunakan format liga sepusingan, dua pasukan terbaik dalam setiap kumpulan mara ke separuh akhir.

Myanmar akan beraksi dalam perlawanan akhir, bertemu sama ada Thailand atau Indonesia, untuk penentuan pingat emas.

Tiada penentuan tempat ketiga dan keempat dalam sepak takraw, sekaligus menyaksikan Malaysia meraih gangsa.

Dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, Thailand memenangi emas acara ini, Myanmar meraih perak sementara gangsa milik Indonesia dan Singapura.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.