Sepak takraw menutup tirainya dalam Sukan SEA Ke-29 dengan menepati sasaran satu emas yang ditetapkan, namun persoalannya adakah ia cukup untuk menutup luka yang dialami ketika tumpas kepada Thailand -- malah kepada Indonesia juga -- dalam acara regu berpasukan.

Malaysia meraih emas dalam acara regu untuk temasya kali ini selepas memenangi semua empat perlawanan menentang Laos, Brunei, Filipina dan Kemboja.

Ia memberi kelegaan untuk barisan kejurulatihan dan pemain tatkala prestasi mereka dikritik hebat selepas hambar dalam acara-acara lain, khususnya regu berpasukan.

Rata-rata kejayaan lebih agung adalah melihat Thailand dapat dijinakkan di bumi Malaysia.

"Lebih manis kalau pingat emas ini diraih dengan menang ke atas Thailand. Tetapi ini rezeki kami, saya hadiahkan kepada peminat-peminat sepak takraw," kata tekong utama skuad negara, Syahir Rosdi.

Walaupun sasaran dua emas oleh Persatuan Sepak Takraw (PSM) dapat dicapai menerusi acara chinlone dan regu, perlu diakui Malaysia masih di belakang Thailand yang dilihat masih unggul dalam sukan ini meskipun tidak menyertai kesemua acara dipertandingkan.

"Alhamdulilah, kami menepati sasaran dua emas. Kalau dapat lebih daripada itu rezeki tetapi kami berjaya mencapai sasaran dengan dua emas," kata apit kanan (perejam) kebangsaan, Hanafiah Dollah.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Abdul Talib Ahmad, berkata: "Saya berharap selepas ini, pengajaran yang kami terima di sini, pemain akan berusaha dengan lebih baik. Saya yakin kami mampu menewaskan Thailand satu hari nanti."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.