Tiada kilauan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari Stadium Titiwangsa apabila skuad beregu lelaki negara meraih perak sementara beregu wanita terkandas di peringkat separuh akhir untuk sekadar berpuas hati dengan gangsa.

Harapan emas sudah pun lebur apabila beregu lelaki tewas kepada Myanmar semalam dan mereka perlu meraih kemenangan bertemu Laos dalam aksi terakhir liga sepusingan bagi menggenggam perak.

Gandingan Muhamad Kamal Ishak dan Suhari Sulaiman beraksi baik dalam set pertama untuk menang 21-16 dan berpeluang menamatkan permainan melalui kemenangan straight set.

Tatkala mereka sudah mendahului 19-16 dalam set kedua, Laos menghukum beberapa kesilapan beregu negara untuk menang 21-19 dan seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Jalan cerita yang hampir sama berulang dalam set penentuan tetapi mujur kali ini Kamal dan Suhairi tenang mengawal keadaan bagi mengesahkan kemenangan 21-16.

"Hari ini saya banyak menekankan aspek moral kepada pemain bagi bertarung merebut pingat perak.

"Semalam, kami telah mendahului 9-0, pemain telah cuba yang terbaik sebelum menghadapi tekanan dalaman," kata jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad.

Sebelum itu, dalam satu lagi acara, beregu wanita negara yang diwakili Khamisah Khamis dan Nor Farhana Ismail terpaksa akur dengan beregu wanita Thailand apabila tumpas 21-12, 21-19.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.