Malaysia meraikan sambutan Kemerdekaan ke-60 hari ini dengan ada sedikit keistimewaan dalam majlisnya di Dataran Merdeka, pagi tadi.

Sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun menampilkan perarakan pelbagai agensi daripada sektor-sektor tertentu.

Namun, kali ini kontinjen Malaysia yang baru sahaja selesai berjuang dalam Sukan SEA Kuala Kumpur turut diberi penghormatan untuk membarisi perarakan.

Ia susulan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA dengan kutipan 145 pingat emas, pencapaian terbaik pernah diraih dalam temasya dwitahunan itu.

Perarakan kontinjen negara diterajui Chef-de -mission, Datuk Marina Chin, sambil diiringi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Kontinjen Malaysia telah diberi penghormatan untuk berbaris dalam perbarisan Hari Merdeka kerana kita telah muncul juara keseluruhan.

"Walaupun kontinjen negara amat letih tetapi untuk membalas budi rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan kepada kami, kami turut serta hari ini," kata Marina.

Secara keseluruhan 300 atlet dan pegawai terlibat dalam perarakan ini.

Dalam pada itu, atlet-atlet negara merasai pengalaman yang berbeza selepas hampir dua minggu mengerah keringat bagi memastikan kejayaan buat Malaysia.

"Saya rasa bangga dapat turun padang bersama rakan atlet lain meraikan Hari Kemerdekaan. Ini adalah satu tanggungjawab kita sebagai atlet negara," kata pelumba basikal trek, Azizulhasni Awang.

Sementara itu, penerjun negara, Cheong Jun Hoong, berkata: "Temasya baru berakhir semalam, hari ini kami dapat meraikan kejayaan atlet bersama rakan-rakan lain. Semua atlet layak mendapat penghormatan ini."

"Hari ini Hari Kemerdekaan, saya rasa bangga kerana dapat bersama rakyat meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Sukan SEA," kata atlet karate, S. Senthil Kumar.

Malah ini peluang terbaik untuk mendekati peminat yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada mereka.