Pasukan ragbi lelaki 7s negara berjaya mengekalkan momentum kemenangan setelah menewaskan pesaing hebat, Filipina, 24-14 dalam perlawanan ketiga Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium MBPJ Kelana Jaya, sebentar tadi.

Selepas menewaskan Kemboja 5-1 serta Singapura 12-10 dalam aksi terdahulu, ternyata Malaysia tidak cepat berpuas hati walaupun telah meraih dua kemenangan.

Filipina pula tidak mahu memberikan laluan mudah buat Malaysia selaku tuan rumah apabila berjaya mengikat kedudukan 14-14 di pertengahan aksi.

Namun, anak buah Mohd Saizul Hafifi mempamerkan permainan yang jauh lebih berdisiplin untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 24-14.

Skuad negara akan menyambung baki perlawanan peringkat kumpulan esok menentang Thailand dan Indonesia dalam usaha untuk mengesahkan tempat ke final, seterusnya meraih emas buat Malaysia.

"Untuk hari ini, pemain-pemain berjaya mengekalkan fokus, namun yang paling penting sebenarnya adalah kedua perlawanan esok kerana ia kunci kepada kami untuk layak ke final," kata ketua pasukan negara, Zulkifli Azmi.