Skuad lelaki negara tewas 3-0 kepada Vietnam dalam separuh akhir acara ping pong berpasukan untuk memastikan pingat gangsa Sukan SEA Ke-29 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Leong Chee Feng yang turun sebagai perseorangan pertama menentang Dinh Quang Linh berharap agar dapat mencipta kejutan.

Meskipun menawarkan tentangan hebat, Che Feng tidak terdaya menghalang lawan daripada merekodkan kemenangan 11-9, 11-4, 11-8.

Vietnam terus kekal selangkah di depan meskipun dicabar hebat wakil negara, termasuk perseorangan kedua, Asyraf Haiqal Rizal.

Menentang Nguyen Anh Tu, Ashraf memberi ruang kepada lawannya untuk memanfaatkan kutipan mata menerusi kesilapan mudah sebelum tewas 8-11, 4-11, 10-12.

Tugas menyelamatkan negara jatuh di atas bahu gandingan Shakirin Ibrahim dan Chee Feng yang berdepan kombinasi Quang Linh dan Doan Ba Tuan Anh.

Mereka turut beraksi sengit sebelum konsistensi memisahkan mereka yang kalah 9-11, 11-13, 8-11, sekaligus menghadiahkan tiket final buat Vietnam.

"Saya berpuas hati dengan kejayaan meraih gangsa tetapi kami perlu bekerja keras lagi bagi menghadapi saingan Sukan SEA akan datang," ketua jurulatih negara, Beh Lee Wei.

Dalam saingan berpasukan wanita, skuad negara tewas 0-3 kepada Singapura bermula dengan kekalahan perseorangan Lee Rou You kepada Yu Mengyu 9-11, 3-11, 6-11, diikuti Ho Ying tewas 3-11, 7-11, 11-9, 3-11 kepada Lin Ye.

Sebelum itu beregu utama negara, Rou You-Ting Hie Pin gagal mengekang kemaraan Singapura apabila kalah kepada Mengyu-Zhou Yihan 11-13, 5-11, 7-11.