Malaysia akhirnya mengesahkan kemaraan ke separuh akhir acara ping pong berpasukan wanita selepas menundukkan Filipina 3-1 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sukan SEA Ke-29 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Bagaimanapun, cabaran skuad negara lebih sukar selepas ini apabila akan bertemu juara bertahan, Singapura.

Pemain perseorangan, Ng Sock Khim, tidak menghadapi masalah untuk melakar kemenangan 17-15, 11-5, 11-6 ke atas Sendrina Andrea Balatbat.

Namun perseorangan kedua, Lee Rou You, membuatkan Malaysia gelisah apabila gagal memanfaatkan peluang selepas mendahului dua set ke atas lawannya, Emy Rose Dael. Kesilapan dan kurang fokus mengakibatkannya tewas 11-5, 11-9, 10-12, 8-11, 8-11.

Rou You kembali menebus kekalahan itu menerusi gandingannya bersama Ho Ying dalam acara beregu untuk menumpaskan lawan, 11-7, 11-3, 9-11, 11-9.

Sock Khim dan Ho Ying kemudian mengesahkan kemenangan untuk menempah slot separuh akhir apabila mencatatkan kemenangan 11-3, 11-9, 11-5.

"Bermain di Malaysia, ia memberikan tekanan kepada kami. Terima kasih kepada penyokong yang hadir memberikan semangat," kata jurulatih pasukan, Beh Lee Wei.

Menanti Malaysia dalam separuh akhir adalah juara bertahan, Singapura, dan Lee Wei tidak akan mudah menyerah kalah biarpun lawan dianggap lebih kuat daripada Malaysia.

"Singapura merupakan pesaing yang sangat kuat tetapi pemain Malaysia akan cuba memberikan yang terbaik," tambahnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.