Skuad pelayaran negara melengkapkan hari terakhir saingan Sukan SEA Kuala Lumpur dengan tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi hari ini.

Nurul Shazwanie Mohd Saad meraih emas pertama dalam kategori optimist wanita bawah 16 tahun, mengetepikan pencabar terdekat dari Thailand, Palika Poonpat (perak) dan pelayar Singapura, Koh Radiance (gangsa).

Berita gembira terus hadir buat Malaysia menerusi kecemerlangan Muhammad Fauzi Kaman Shah yang memenangi emas dalam kategori optimist lelaki bawah 16 tahun.

Pelayar Thailand, Panwa Boonnak, mengakhiri saingan di tempat kedua manakala Max Victor Teo Li Chen (Singapura) di tempat ketiga.

Ahmad Latif Khan menuai emas ketiga dalam kategori laser radial lelaki dan pelayar Singapura, Bernie Chin Cheok Khoon, meraih perak manakala pelayar Thailand, Apiwat Sringam, memenangi gangsa.

Dalam acara laser radial, pingat perak diraih oleh Nur Shazrin Mohamad Latif selepas gagal mengatasi pelayar Singapura, Lee Sook Ying Jillian, dan pelayar Thailand, Kanapan Pachatikapanya, pula memenangi pingat gangsa.

Dalam kategori laser standard pula, pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Affendy, turut mencipta nama sebagai pemenang pingat gangsa manakala pelayar Singapura, Lo Jun Han Ryan, memenangi emas dan pelayar Thailand, Keerati Bualong, pingat perak.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.