Tahun 2017 mungkin menjadi tahun paling gemilang buat Rayzam Shah Wan Sofian kerana selain mencipta kejutan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 110 meter lari berpagar di Jerman pada Mei lalu, atlet dari Sabah itu turut menyumbang pingat emas buat negara bagi acara sama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, anak jati Keningau berusia 29 tahun itu tidak mahu menghentikan lariannya, sebaliknya bertekad untuk terus berjuang menjulang nama negara, termasuk mempertahankan emas dalam Sukan SEA di Manila, dua tahun lagi.

Rayzam berkata sasarannya selepas ini adalah untuk beraksi di pentas Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April 2018, seterusnya Sukan Asia di Jakarta, Indonesia pada Ogos tahun yang sama.

"Saya sudah layak untuk beraksi dalan kedua-dua temasya berkenaan dan seterusnya saya akan kembali mempertahankan emas saya dalam Sukan SEA pada tahun berikutnya.

"Sebelum ini, saya memang ada memikirkan untuk berhenti tetapi ramai menasihatkan supaya saya tidak berbuat demikian kerana saya masih lagi berlari sekitar 13 saat.

"Pada tahun ini juga, saya memecahkan rekod kebangsaan 13.67s...mungkin saya akan terus berlari sehingga umur saya 35 tahun," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang tadi.

Ketibaan Rayzam disambut ahli keluarga, pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Belia dan Sukan negeri.

Kejayaan itu membolehkan atlet itu mengulangi kejayaannya pada 10 tahun lalu di Thailand dengan catatan 13.92s dan pada ketika itu, dia baharu berusia 18 tahun.

Kepantasan dicipta Rayzam itu juga membolehkan dia menewaskan juara edisi lalu, Jamras Rittidet dari Thailand di tempat kedua dengan catatan masa 14.10s sementara gangsa milik atlet Filipina, Clinton Kingsley B, 14.15s.

Meskipun catatan 13.83s itu belum mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri, iaitu 13.67s, namun ia cukup manis kerana berjaya melonjakkan dirinya ke tahap lebih tinggi apabila sekadar memenangi perak (13.97s) dalam Sukan SEA Singapura 2015.

Sementara itu, isteri Rayzam, Eriyana Idris, 29, ketika ditemui berkata sebelum suaminya bersaing dalam aksi final, atlet itu ada menghubunginya bagi meminta dia mendoakan kejayaannya.

"Saya beritahu dia (Rayzam) supaya jangan panik, buat macam biasa saja seperti yang dilakukan ketika memecahkan rekod kebangsaan di Jerman.

"Bagaimanapun, saya mula yakin dia dapat lakukannya kerana sebelum ini apabila diperkenalkan sebelum acara bermula, muka dia nampak takut.

"Tetapi kali ini dia nampak sangat yakin dan oleh sebab itu, saya juga yakin dia akan menang emas," katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go