Selepas kegagalan skuad negara mara ke final acara berpasukan campuran dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, ternyata kem luncur air memerlukan pembentukan semula yang menyeluruh bagi menghadapi Sukan SEA 2019.

Gandingan Rody Sofian Buang dan Cheah Hsu Ann tidak berjaya menempah tempat ke saingan akhir, sekaligus meleburkan hasrat negara untuk meraih pingat emas bagi kategori itu.

Ketika ditemui, Rody mengakui perbezaan yang amat ketara boleh dilihat di antara pasukan negara dan peserta-peserta lain sambil mengharapkan bantuan daripada pihak yang bertanggungjawab bagi membantu menaikkan kualiti sukan itu di Malaysia.

"Bagi saya, perbezaan paling ketara adalah daripada segi kutipan mata. Kami masih perlu banyak belajar, kami perlukan suntikan semangat, mungkin dengan mendapatkan jurulatih luar," katanya.

Bagi Hsu Ann, dia tidak menafikan kewujudan individu-individu yang sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk meningkatkan taraf sukan itu seperti Hanifah Yoong yang mampu memperkembangkan sukan itu dengan lebih luas.

"Kalau kita ada pelabur dalam sukan luncur air, sudah tentu ia akan membantu tetapi pada masa sama kami juga perlu memainkan peranan dalam membangunkan sukan ini," ujar Hsu Ann.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.