Aaliyah Yoong Hanifah mengetepikan masalah kesihatan untuk muncul pemenang pingat emas acara keseluruhan ski air wanita Sukan SEA Ke-29 di Pusat Rekreasi Air Putrajaya, hari ini.

Meskipun terganggu disebabkan demam, dia masih cemerlang untuk mengungguli dua pusingan membabitkan tiga disiplin, iaitu slalom, tricks dan jump.

Aaliyah beraksi konsisten dalam disiplin kegemarannya, iaitu tricks, dan selepas membuat cubaan kali ketiga dalam disiplin terakhir (jumps), dia mengesahkan kedudukannya selaku pemenang emas bagi acara keseluruhan -- mempertahankan emas yang dimenanginya di Singapura, dua tahun lalu.

Atlet berusia 14 tahun itu menghimpun keseluruhan 2,678 mata menerusi slalom (803.03), tricks (1,000) dan jumps (875.86).

Pingat perak pula dimenangi oleh atlet Indonesia, Nur Alimah Priambodo dengan 1,874 mata manakala gangsa menjadi milik senegaranya, Rossi Amir, dengan 1,232 mata.

"Saya terpaksa mengambil suntikan malam tadi untuk mengawal demam saya ini agar saya dapat bertanding.

"Saya sungguh gembira dengan emas ini, lebih-lebih lagi ramai yang berada di sini untuk memberikan sokongan.

"Terima kasih kepada semua, termasuk ISN (Institut Sukan Negara) yang banyak membantu saya untuk meraih pingat emas ini," kata Aaliyah.

Sementara itu, adiknya, Aiden Yoong Hanifah, terpaksa menarik diri daripada acara keseluruhan lelaki selepas mengalami demam panas.

Bagaimanapun, dia dijangka menyertai acara tricks individu pada Selasa dan Rabu ini.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC).