Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengesahkan terdapat atlet Malaysia yang terlibat dengan kes doping dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 19-30 Ogos lalu.

Perkhabaran ini ternyata menghancurkan impian seluruh pengamal sukan negara yang mahu melihat atlet Malaysia bebas daripada kes positif doping dalam temasya dwitahunan itu.

Beng Choo turut menyatakan bahawa banyak langkah serta program pencegahan telah dilakukan bagi memastikan KL2017 bebas daripada doping, namun ia gagal membendung perkara itu daripada terjadi.

"Kami telah dimaklumkan bahawa terdapat tiga kes doping yang telah dikenal pasti dan salah satu kes merupakan atlet Malaysia," katanya.

"Buat masa ini, kami tidak akan mendedahkan sebarang nama kerana perlu menjalani setiap prosedur terlebih dahulu.

"Ia merupakan satu berita yang amat mengecewakan buat Malaysia. Kami telah berusaha sedaya-upaya untuk memastikan perkara ini tidak berlaku dalam temasya KL2017. Buat masa ini, kami akan cuba yang terbaik untuk menguruskan hal ini," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Sukan SEA, Datuk Dr SS Cheema, mengesahkan atlet yang terlibat dengan kes doping telah dimaklumkan dan kini menunggu sama ada mahu menguji sampel B atau sebaliknya.

Cheema menegaskan prosedur ujian doping masih berjalan dan perlu menunggu keputusan daripada individu terlibat, sama ada mahu menguji sampel B atau sebaliknya.

“Jika atlet mahu sampel B diuji di New Delhi, India, selepas itu baru kami boleh mengambil keputusan sama ada mereka positif ataupun tidak,” katanya.

Cheema, bagaimanapun, enggan mengulas mengenai identiti atlet mahupun negara asal mereka kerana tetap menegaskan bahawa proses sepenuhnya perlu dihormati sebelum pengumuman dibuat.

“Selepas setiap prosedur diselesaikan, baru kami akan mengeluarkan nama atlet tersebut.”

Terdahulu, tiga kes doping telah dikesan dalam Sukan SEA, Ogos lalu dan didakwa turut melibatkan seorang atlet Malaysia daripada sukan terjun.

Ini menimbulkan kemungkinan Malaysia yang menamatkan temasya serantau dengan pencapaian juara keseluruhan, terpaksa berpuas hati dengan jumlah terakhir 144 pingat emas.