Penasihat Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Sukan SEA, Tan Sri Dr M. Jegathesan, mahu kes doping temasya Kuala Lumpur 2017 diselesaikan sebelum Disember depan bagi menjaga kredibiliti Malaysia selaku tuan rumah.

Kes doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menggemparkan temasya yang tamat, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Sukan SEA, Datuk Dr SS Cheema, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut identiti dan negara terabit kerana ia hasil keputusan sampel A.

Pihaknya sudah menghubungi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mengesan atlet itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Jegathesan, yang berpengalaman mengendalikan kes ini pada peringkat Sukan Asia dan Sukan Olimpik, mahu ia diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

"Perkara ini hendaklah diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan selepas temasya berakhir," kata Jegathesan.

Bagi melancarkan siasatan, Cheema dan ahli jawatankuasanya akan terus menjalankan tugas mereka hingga semua kes doping temasya diselesaikan.

Setakat ini, hanya satu kes positif dikesan dan pihaknya masih menunggu keputusan lebih 500 sampel daripada makmal ujian di New Delhi, India selewat-lewatnya 15 September ini.

"Terdapat beberapa bahan terlarang ini dijumpai dalam makan tambahan yang diambil oleh atlet, ubat-ubatan dan ada tidak disertakan di dalam kandungan makanan yang diambil oleh atlet."