Pasukan hoki wanita negara meneruskan aksi konsisten dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Thailand 3-0 di Stadium Hoki Nasional malam ini untuk mengesahkan tempat dalam final.

Selepas menundukkan Indonesia 11-0 dan Singapura 5-0 dalam perlawanan terdahulu, ternyata Malaysia mahu mengekalkan momentum kemenangan yang diraih sebelum ini.

Namun, suku pertama dan kedua menyaksikan anak-anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah -- yang mara ke Liga Hoki Dunia Separuh Akhir di Belgium, Julai lalu di samping menduduki ranking ke-22 dunia -- berhempas-pulas untuk menembusi gawang lawan yang dikawal oleh Alisa Naruengram.

Bagaimanapun, kekebalan Alisa akhirnya lebur apabila Hanis Nadiah Onn berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-31 sebelum Nuraini Abdul Rashid menambah gol kedua lapan minit kemudian.

Surizan Awang Noh menambah gol ketiga Malaysia pada minit ke-51 dan kedudukan 3-0 kekal sehingga ke wisel penamat.

Dengan kemenangan malam ini, The Malaysian Tigres mara ke final dengan berbaki satu perlawanan berdepan Myanmar esok.

Lawan Malaysia dalam final adalah pemenang tempat kedua yang menjadi rebutan di antara Thailand dan Singapura, yang akan berdepan sesama sendiri esok.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.