Skuad hoki dalam dewan wanita negara memastikan pingat gangsa milik mereka selepas menewaskan Singapura 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Sukan SEA Ke-29 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Malaysia, yang menewaskan Singapura 6-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan semalam, sekali lagi mengecewakan lawannya itu.

Dalam aksi hari ini, Malaysia memperolehi dua gol dalam tempoh sembilan minit menerusi Nur Aisyah Yaacob dan Noorain Mohd untuk berada di depan.

Walaupun Singapura merapatkan kedudukan hasil jaringan Sabrina Gofar lima minit selepas itu, skuad wanita negara membalasnya dengan satu gol sumbangan Qasidah Halimi pada minit ke-20.

Sementara itu, Thailand membenam Indonesia 4-1 dalam perlawanan akhir untuk meraih pingat emas.

Bagi saingan lelaki, skuad negara akan membuat perhitungan dengan Indonesia dalam perlawanan akhir, esok.

Acara hoki dalam dewan ini julung kalinya dianjurkan dalam Sukan SEA.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.