Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi emas pertama acara hoki dalam dewan Sukan SEA selepas menewaskan Indonesia 5-1 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sebentar tadi.

Malaysia, yang turun selaku pasukan pilihan selepas menyusun kemenangan besar dalam peringkat kumpulan, membuka jaringan pada minit keempat menerusi Hafiq Yaacob.

Skuad bimbingan Mohd Amin Rahim itu meletakkan Indonesia dalam tekanan apabila Irwan Nazli, Najib Hassan dan Muhd Syafiq Syed menambah koleksi gol buat negara masing-masing pada minit ke-19, 23 dan 25.

Walaupun jauh untuk mengejar kedudukan, usaha Indonesia memburu gol akhirnya terhasil pada minit ke-38 menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Alvin Nourul.

Bagaimanapun, Muhd Amirol Aideed melengkapkan kemenangan Malaysia untuk meraih emas hoki dalam dewan yang kali pertama dipertandingkan dalam Sukan SEA.

"Saya rasa sangat gembira kerana pasukan ini baru ditubuhkan tahun ini. Apabila diletakkan sasaran pingat emas, ia berjaya dilakukannya.

"Kami berlatih dan berkorban masa rehat. Saya gembira, pingat emas ini untuk rakyat Malaysia," kata Najib yang juga kapten pasukan.

"Saya amat yakin dengan pemain saya kerana mereka semua bermain hoki padang. Cuma kami perlu biasakan diri dengan keadaan gelanggang dalam dewan.

"Dalam masa beberapa bulan sahaja kami mampu membentuk pasukan yang meraih pingat emas. Bagi saya itu satu kebanggaan," kata Amin.

Dalam saingan wanita semalam, Malaysia memastikan pingat gangsa milik mereka selepas menewaskan Singapura 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.