Skuad hoki dalam dewan wanita negara meraih kemenangan besar dalam aksi sulung Sukan SEA Ke-29 selepas mengatasi Filipina 19-0 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sebentar tadi.

Hampir setiap minit Malaysia menjaringkan gol, dengan 10 minit pertama perlawanan skuad negara sudah menemui lapan jaringan.

Pesta gol pasukan negara dimulai pada minit kedua menerusi jaringan pembukaan Qasidah Halimi dan disusuli Ellya Ellias.

Qasidah dan seorang lagi pemain negara, Nur Aisyah Yaacob, beraksi cemerlang selepas masing-masing menjaringkan empat gol.

Malaysia seterusnya akan bertemu Indonesia esok, sebelum menentang Thailand pada Rabu dan Singapura pada Khamis untuk melengkapkan jadual liga sepusingan.

Dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke perlawanan akhir, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam perlawanan penentuan pingat gangsa, Jumaat ini.

Terdahulu hari ini, skuad lelaki negara juga menewaskan Filipina 16-0.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.