Malaysia memastikan pingat gangsa dalam acara hoki ais lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas menewaskan Singapura 8-2 di Empire City, Damansara Perdana, lewat malam tadi.

Kemenangan itu menebus kekecewaan skuad Kristof Kovago itu selepas tumpas kepada Filipina, kelmarin.

Sementara itu, Filipina mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi emas pertama hoki ais Sukan SEA selepas mengungguli saingan liga sepusingan di tempat teratas.

Mereka mengejutkan pasukan pilihan, Thailand, 5-4 untuk mengumpul 11 mata keseluruhan.

Hanya lima negara menyertai hoki ais yang julung kali dipertandingkan dalam temasya ini, iaitu Filipina, Thailand, Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Sebelum ini, Malaysia menang ke atas Indonesia 10-3, tewas kepada Thailand 10-4 dan kalah kepada Filipina 8-7 dalam penentuan penalti selepas perlawanan terikat 0-0.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC)