Gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng, tidak kecewa meskipun sekadar meraih perak dalam acara individu keseluruhan, malah menyifatkan ia satu kejayaan peribadi buat dirinya.

Dua tahun lalu, Amy tidak dapat beraksi di Singapura kerana dibelengu kecederaan pergelangan kaki dan menyaksikan Malaysia mencatat kejayaan satu-dua, menerusi Koi Sie Yan yang merangkul emas, dan Shasangari Sivaneswari Nagarajan yang meraih perak.

Bebas daripada kecederaan, Amy kembali beraksi dalam acara individu keseluruhan bagi membantu menambah lagi pungutan pingat buat kontinjen Malaysia.

Amy ternyata memberi saingan kepada Sie Yan sepanjang empat disiplin, dengan 14.100 mata dalam disiplin gelung, bola (15.00), belantan (15.450) dan riben (15.500) untuk memperoleh keseluruhan 60.100 mata.

"Saya gembira dengan persembahannya (Sie Yan) kerana hari ini saya melakukan beberapa kesilapan tetapi saya masih berpuas hati dengan aksi saya. Cuma saya perlu memperbaiki aksi saya kerana saya masih ada dua acara esok," ujar Amy.

Pemenang pingat emas, Sie Yan, jelas melakukan persembahan yang kemas dalam disiplin gelung dengan 16.60 mata berbanding bola (15.60), belantan (15.25) dan riben (15.70).

Gangsa pula dimenangi gimnas Thailand, Pornchanit Junthabud, dengan mengumpul 52.50 mata.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.


Kredit: MASOC