Prestasi skuad boling tenpin negara nyata berada di luar jangkaan dengan mengaut tujuh daripada 11 pingat emas yang ditawarkan, sekaligus mengulangi pencapaian terbaik negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

Setiap kali Sukan SEA, boling tenpin tidak pernah menghampakan, cuma pada kali ini, prestasi atlet negara nyata menakjubkan.

Tiga emas masing-masing daripada acara lelaki dan wanita serta satu lagi emas menerusi kategori berpasangan campuran membuktikan skuad boling kita seimbang daripada segi kekuatan.

Jurulatih, Holloway Cheah, yang sudah bersama dengan pasukan kebangsaan sejak 2001, begitu gembira dengan apa yang dipamerkan pemainnya sepanjang enam hari pertandingan.

Cuma kekecewaannya hanya satu, iaitu kegagalan mempertahankan emas dalam acara lima berpasukan lelaki yang dimenangi dalam edisi lalu.

"Saya memulakan karier selaku jurulatih dengan menyaksikan anak buah mengutip tujuh pingat emas pada 2001.

"Tetapi selepas beberapa tahun barulah dapat menyaksikan mereka melakukannya sekali lagi. Saya sangat gembira.

"Persiapan berjalan dengan baik apabila atlet wanita beraksi di Amerika Syarikat selama sebulan sementara atlet lelaki berlatih dengan kerap di sini bagi menyesuaikan diri dengan kejohanan," ujar Holloway.

Paling mencuri tumpuan ialah kebangkitan semula ratu boling negara, Shalin Zulkifli, yang menggondol tiga emas dalam temasya KL2017.

Selain itu, Rafiq Ismail terus mempamerkan prestasi konsisten seperti dalam Sukan SEA Singapura dan pemain itu dilihat sebagai legenda dalam pembikinan.

"Shalin semakin hampir menemui prestasi terbaiknya. Saya tahu dia mampu bangkit tetapi tidak menjangkakan akan dibezakan dengan satu jatuhan pin.

"Bagi Rafiq pula, dia atlet boling yang istimewa. Sukar untuk menemui atlet kidal sepertinya. Saya menjangkakan lebih banyak kejayaan daripadanya," tambah Holloway.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.