Boling padang terus cemerlang dalam membutirkan pingat emas buat kontinjen Sukan SEA negara pada hari keenam apabila meraih kejayaan menerusi acara perseorangan lelaki, sebentar tadi.

Kali ini, kejayaan hadir menerusi Muhammad Soufi Rusli yang menewaskan wakil Singapura, Lee Yuan Min, 21-6 selepas 18 ends.

"Memasuki ends ke-16, saya bertambah yakin selepas saya agak gugup pada awal pertandingan tetapi semakin lama semakin yakin bahawa saya sudah selangkah untuk meraih emas.

"Saya yakin mampu menyumbang emas tetapi perjalanan saya ke final bukan mudah.

"Kawan-kawan yang lain semua sudah berjaya menyumbang emas kecuali saya seorang.

"Ketika lawan Brunei dalam separuh akhir, saya ketinggalan 16-20 dan ketika itu saya hanya mampu reda.

"Pihak lawan cuma memerlukan satu mata sahaja untuk menang tetapi saya memberitahu diri sendiri 'kau kena menang, kau tak boleh kalah' dan akhirnya saya menang.

"Aksi final bagi saya cukup mudah kerana saya sudah melepaskan segala-galanya dalam separuh akhir," jelas Soufi.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.