Siapa sangka teknik tandukan yang sering dilakukan N. Thanabalan ketika masa lapang menjadi penyelamat skuad negara untuk mengisi slot final Sukan SEA 2017.

"Jaringan menerusi tandukan memang kegemaran saya," kata Thanabalan ketika ditemui selepas golnya menyumbang kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Indonesia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Malah, Thanabalan sendiri memiliki hobi pelik, iaitu sering membuat teknik tandukan ke dinding rumahnya setiap kali ada kelapangan.

Tabiat itu membawa kepada senjata rahsia skuad negara yang hanya mampu disempurnakan Thanabalan setakat ini.

"Saya memang gemar menjaringkan gol menggunakan kepala berbanding kaki. Kalau di rumah, saya sering melakukan tandukan bola ke dinding. Saya memang suka melakukannya," katanya.

Penampilan Thanabalan dalam temasya ini terus mencuri tumpuan apabila melakukan empat jaringan dan dua daripadanya adalah menerusi tandukan.

Dia, bagaimanapun, tidak mahu diangkat sebagai hero dalam aksi semalam, sebaliknya lebih selesa melihat ia sebagai kejayaan satu pasukan.

"Saya kena mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya. Kalau mereka tidak dapat membuat hantaran cantik kepada saya, sudah tentu saya tidak dapat melakukannya.

"Ia membolehkan saya menjaringkan gol dalam situasi sepakan sudut, sepakan percuma dan bola terpantul," tambahnya.