Gol tunggal hasil tandukan penyerang, N. Thanabalan, membawa Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas menewaskan Indonesia 1-0 dalam separuh akhir di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ia menghampirkan skuad bawah 22 tahun negara dengan ibu segala pingat emas, dengan juara bertahan, Thailand, menjadi halangan terakhir dalam perlawanan kemuncak, Selasa ini.

Sejak wisel permulaan dibunyikan, perlawanan di hadapan kira-kira 80,000 penonton, menyaksikan kedua-dua pasukan tampil berhati-hati, dengan Indonesia lebih menguasai perlawanan tetapi benteng skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kekal ampuh daripada dibolosi.

Pemain sayap Malaysia, Safawi Rasid, hampir memecah kebuntuan sebelum tamat separuh masa pertama, namun percubaannya sekadar melewati gawang lawan.

Bagaimanapun, Thanabalan yang sudah menjaringkan tiga gol sebelum ini, akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan ketika permainan berbaki empat minit apabila melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kemenangan skuad negara hasil daripada sepakan sudut Mohd Nor Azam Azih.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga ke wisel penamat dan ketika ditemui, Thanabalan tidak menyembunyikan rasa lega selepas berjaya membawa skuad negara ke final.

"Saya akui tidak dapat menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan malam ini tetapi lega akhirnya berjaya menjaringkan gol kemenangan.

"Bapa saya sering berpesan, jika meraih sebarang peluang melalui tandukan, pastikan ia menjadi satu tandukan tepat dan mujur hari ini, saya dapat melakukannya," katanya.

"Hajat saya hanya satu. Saya mahu pergi ke final. Sejak mewakili Malaysia ketika berusia 12 tahun, saya tidak pernah merasai pentas final dan akhirnya saya berjaya melakukannya pada malam ini," tambahnya.

Malaysia bakal bertemu seteru utama, Thailand, yang terlebih dahulu menewaskan Myanmar 1-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Selayang, petang tadi.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar kredit: MASOC