Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, lega apabila percaturan taktikalnya membuahkan hasil dengan dua pemain gantian, Mohammad Nor Azam Abdul Azih dan N. Thanabalan, menunjangi kebangkitan Malaysia untuk menumpaskan Singapura 2-1 dalam aksi Sukan SEA Ke-29 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kim Swee merombak kesebelasan utama apabila menurunkan enam pemain yang tidak beraksi ketika menewaskan Brunei 2-1, Isnin lalu.

Percaturan itu kurang menjadi apabila skuad muda negara dibolosi pada minit ke-37 menerusi jaringan cantik Muhammad Amiruldin Asraf Muhammad Nodin.

Sedar perlu melakukan pertukaran drastik, Kim Swee memasukkan Nor Azam dan Thanabalan pada babak kedua dan ia membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu meledak jaringan pada minit ke-68 dan 73 untuk memastikan tiga mata penuh buat skuad muda negara.

"Dua pemain gantian membawa perbezaan dan kedua-duanya menjaringkan gol. Malangnya, kami masih belum menemui rentak pada separuh masa pertama.

"Sudah semestinya pada babak kedua, secara keseluruhan semuanya tampak berbeza," katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad muda Singapura, Richard Tardy, turut mengakui percaturan taktikal lawan mematikan langkah pasukannya, sekali gus hampir pasti tersingkir dalam saingan kali ini.

"Dengan beberapa pemain yang bagus, termasuk pemain nombor 8 (Nor Azam) dimasukkan, dia mengubah rentak permainan.

"Kami tidak mengekalkan corak permainan babak pertama," katanya.