Selepas 16 tahun kempunan pingat emas, skuad bola jaring Malaysia menyerlahkan penguasaan ke atas juara bertahan, Singapura, dengan kemenangan 65-41 dalam final Sukan SEA Ke-29 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Ternyata, percaturan pasukan Singapura yang bermain hantaran rendah, terlalu mudah untuk dihidu anak buah Tracey Robinson sebelum mereka terus mengungguli perlawanan.

Pertahanan yang cukup kuat, kecekapan penyerang dan penjaring utama Malaysia nyata tidak mengecewakan apabila terus menghukum juara bertahan itu untuk memastikan jurang mata yang besar ke atas mereka.

Malaysia mengungguli setiap satu daripada empat suku saingan kecuali suku ketiga apabila Singapura mengatasi tuan rumah 16-15.

Dalam peringkat liga, Malaysia mengatasi Singapura 50-37.

"Ketua pasukan mereka mengatakan mereka akan menggunakan balingan rendah sebab kebanyakan pemain kami bermain hantaran tinggi. Jadi, kami berjaya memintas balingan mereka," kata pemain negara, Nur Syafazliyana Mohd Ali.

"Kami menjerit dari luar gelanggang 'bola depan, bola depan' dan kami memang telah berlatih untuk menghadapinya. Jadi semuanya menjadi tadi," kata penjaring negara, Norashikin Kamalzaman.

Malaysia menampilkan Noramirah Dayana Noor Azhar, Izyan Syazana Mohd Wazir, An Najwa Azizan, Nurfariha Abdul Razak, Pow Mei Foong, Yap Suo Kuen dan Siti Nor Farhana Mustafa selaku barisan utama.

Sementara itu, Singapura tidak menafikan kehebatan tuan rumah yang lebih cekap mencipta peluang menjaringkan gol berbanding dua tahun lalu.

Pengajaran berguna diambil mereka untuk terus menggilap sebahagian pemain muda yang kali pertama beraksi di pentas Sukan SEA ini.

"Mungkin kami pulang nanti, kami akan berbincang untuk memperbaiki bahagian yang diperlukan.

"Mungkin daripada segi pertahanan ataupun menyerang. Ia harus dibincangkan secara keseluruhan," kata penolong kapten pasukan Singapura, Nurul Baizura Abdul Razak.

Ia adalah emas pertama Malaysia dalam bola jaring selepas kali terakhir bergelar juara ketika menjadi tuan rumah pada 2001.

Untuk rekod, Malaysia juga adalah juara Kejohanan Bola Jaring Asia apabila menewaskan Sri Lanka 41-31 dalam final di Bangkok, pada Ogos tahun lalu.

Dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, Malaysia meraih pingat perak selepas tewas tipis kepada Singapura 46-43 dalam perlawanan akhir.