Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan skuad kejar mengejar berpasukan lelaki masing-masing memahat nama selaku juara dalam acara berbasikal trek Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional, Nilai, sebentar tadi.

Kemenangan itu secara tidak langsung menambah tiga lagi pungutan pingat emas buat kontinjen negara dalam temasya kali ini.

Azizulhasni Awang meraikan kemenangannya dalam acara kegemarannya, keirin, dengan mengangkat tayarnya sebaik melintasi garisan penamat untuk meninggalkan rakan senegara, Shariz Efendi Shahrin, di tempat kedua.

"Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana meraih kemenangan individu kedua dalam Sukan SEA.

"Ini satu sejarah buat saya beraksi di depan penyokong sendiri sehinggakan saya begitu bersemangat untuk memecut dalam 100m terakhir.

"Ini juga merupakan pencapaian yang sangat membanggakan kerana buat pertama kalinya saya menyarung jersi pelangi dalam kejohanan peringkat antarabangsa," kata Azizulhasni.

"Velodrom Nasional ini akan sekali lagi menganjurkan saingan pada awal tahun hadapan, Kejohanan Basikal Asia. Ini merupakan peluang untuk rakyat Malaysia menyaksikan atlet-atlet Malaysia beraksi.

"Velodrom ini bertaraf dunia. Ia sangat bagus untuk perkembangan sukan berbasikal trek negara dan saya berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai atlet yang mampu menggantikan tempat saya," ujar Azizulhasni.

Fatehah pula membuktikan status sebagai ratu trek Asia Tenggara apabila menamatkan perlumbaan dalam kategori keirin wanita di hadapan pelumba pelapis, Farina Shawati Adnan, sekaligus melengkapkan pemburuan emas keempatnya selepas cemerlang dalam pecut individu, pecut berpasukan dan 500 meter ujian masa dengan rekod kebangsaan (34.542s).

"Adalah menjadi sasaran saya untuk meraih kejayaan selepas lima bulan berlatih di Melbourne.

"Saya berharap dapat bangkit di peringkat dunia.

"Saya terkejut dengan sokongan yang diterima ketika beraksi di Velodrom Nasional.

"Ini kerana kami jarang mendapat sokongan padu seperti ini dan ia menambah semangat saya ketika berlumba.

"Saya melihat pencapaian ini sebagai rezeki saya. Kepada atlet-atlet lain, teruskan usaha anda, kita akan berjumpa di Sukan Asia dan Sukan Komanwel nanti," kata Fatehah.

Peserta Thailand, Watinee Luekajorn, membawa pulang gangsa.

Kuartet kejar mengejar berpasukan lelaki turut cemerlang biarpun basikal milik Afiq Huznie Othman berdepan masalah teknikal namun tetap berjaya menewaskan Thailand.

Afiq terpaksa menamatkan perlumbaan di kilometer ke-2 namun rakan sepasukan berjaya menghambat Thailand ketika saingan berbaki tiga pusingan.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.