Kekecewaan skuad badminton lelaki dan wanita di pentas final ketika tewas di tangan Indonesia dan Thailand hanya menyerlahkan misi sukar untuk mencapai sasaran dua emas dalam Sukan SEA Ke-29 ini.

Itu pandangan jujur Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, apabila mengkaji peluang skuad negara dalam saingan individu.

BAM meletakkan harapan kepada beregu campuran dan juga beregu wanita untuk mencapai sasaran dua emas itu.

"Ia merupakan satu tugas yang sukar. Acara berpasukan adalah sesuatu yang telah lama tidak diraih Malaysia. Thailand dan Indonesia menjadi penghalang skuad negara untuk mencipta kejayaan," kata Frost.

Bagaimanapun, Frost tetap melihat wujud aspek positif dalam kejayaan Malaysia yang berjaya layak ke final acara berpasukan.

Ia seperti satu mesej bahawa pemain yang tampil dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan menjadi tunjang kepada saingan Piala Thomas dan Uber serta bagi kempen temasya pada 2018.

"Pada edisi dua tahun lalu, Thailand merupakan pasukan yang akan meraih kejayaan berdasarkan pemain-pemain diturunkan yang terdiri daripada pemain-pemain yang berpengalaman. Kali ini, skuad wanita negara telah cuba memberikan saingan kepada mereka."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.