Ia masih bukan laluan mudah, namun tetap realistik untuk meletakkan sandaran kepada beregu badminton wanita dan beregu campuran negara bagi meraih dua pingat emas Sukan SEA Ke-29 selepas berakhir undian acara individu, hari ini.

Undian itu menyaksikan skuad individu lelaki negara harus bergelut untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang mendapat 'bye' dalam pusingan pertama, dijangka berdepan Nguyen Tien Minh dari Vietnam selaku pemain ke-54 dunia, dalam suku akhir.

Bagaimanapun, sengit untuknya jika layak ke separuh akhir kerana berkemungkinan besar bakal melalui pertembungan kedua dengan pemain ranking ke-23 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie, selepas terlebih dahulu tewas 18-21, 17-21 dalam final acara berpasukan.

Beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei yang diletakkan sasaran pingat emas, dijangka berdepan pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai, dalam separuh akhir

Bagi beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai harus memastikan slot separuh akhir mampu direbut sebelum dijangka berdepan pemain pilihan pertama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dan pemain pilihan keempat, Bodin Isara-Savitree Amitrapai.

"Saya berasakan kami memiliki beregu yang berkualiti dalam saingan kali ini. Tidak mustahil Malaysia mampu meraih pingat emas," kata Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

Bagaimanapun, skuad badminton negara nyata enggan menjadi pasukan belasahan yang gagal mengecapi sasaran ditetapkan, sebaliknya Frost menuntut usaha keras berganda atlet bagi melupakan kekalahan dalam final acara berpasukan lalu.

"Terdapat perkara yang baik dan buruk diterima bagi saingan kali ini. Kami perlu terus berusaha memberikan yang terbaik dan memastikan Malaysia meraih sesuatu," tambahnya.

Perlawanan

Perseorangan lelaki (Pusingan kedua):

• Iskandar Zulkarnain lwn Cheng Phorrom
• Lee Zii Jia lwn Ihsan Maulana Mustofa

Beregu lelaki (Pusingan kedua):

• Yew Sin-Ee Yi lwn Chanmara-Kosal
• Fei Goh-Nur Izzuddin lwn Duc Do-Nam Pham

Perseorangan wanita (Pusingan pertama):

• Goh Jin Wei lwn Thet Htar Thuzar
• Soniia Cheah lwn Yeo Jia Min

Beregu wanita (Pusingan pertama):

• Mei Kuan-Meng Yean lwn Dyah-Ramadini
• Vivian Hoo-Woon Khe Wei (bye)

Beregu campuran (Pusingan pertama):

• Soon Huat-Shevon Lai lwn Sopheaktra-Pechhoravy
• Peng Soon-Yee See lwn Subaktiar-Gloria

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.