Erry Hidayat menempatkan diri di kedudukan keempat dalam acara angkat berat kategori 69kg lelaki dalam temasya KL2017 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sebentar tadi.

Erry -- anak kepada pemenang pingat emas negara dalam edisi 1997, Hidayat Hamidon -- melakukan angkatan 125kg dalam acara snatch sebelum mengangkat bebanan 156kg dalam acara clean & jerk untuk merekodkan catatan keseluruhan 281kg.

Ia memperbaiki rekodnya sendiri yang dicatatkan dalam Kejohanan Kebangsaan, Mac lalu, 275kg.

Pingat emas dimenangi peserta Indonesia, Deni (312kg) yang merupakan juara edisi 2013, perak milik Trirat Boonsuk dari Thailand (310kg) manakala gangsa diraih Pham Tuan Anh dari Vietnam (306kg).

Erry dipilih menyertai Sukan SEA pada saat-saat akhir susulan kecederaan otot paha yang menimpa pemenang emas Sukan Komanwel 2014, Hafifi Mansor, bulan lalu.

"Dalam pertandingan sebelum ini di Terengganu, saya membuat 125kg dalam snatch dan 150kg untuk clean & jerk.

"Selepas latihan di Korea Selatan, saya berasa yakin.

"Saya juga hampir memecah rekod snatch," katanya.

Rekod lama snatch masih utuh milik Constantine Clement yang direkodkan pada 2014 dengan angkatan 142kg.

Turut hadir memberikan sokongan buat Erry adalah bapanya, Hidayat Hamidon, yang berpuas hati dengan pendedahan yang dikutip anaknya.

"Saya mengimbau kembali pada masa saya selalu bertanding dalam Sukan SEA.

"Saya lihat persembahan Erry sangat bagus meskipun ini pengalaman pertamanya dalam Sukan SEA," katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.