YOG: Skuad hoki 5s sumbang emas kedua Malaysia

Oleh Bernama 15 Oktober 2018 1230
YOG: Skuad hoki 5s sumbang emas kedua Malaysia

Skuad hoki lima sepasukan remaja negara menyumbang pingat emas kedua kepada kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik Remaja (YOG) di Bueunos Aires, Argentina.

Pingat emas pertama Malaysia dimenangi Goh Jin Wei dalam acara badminton perseorangan wanita.

Skuad remaja B-18 negara di bawah bimbingan Walace Tan itu mengalahkan India 4-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Argentina Olympic Park, semalam.

Menurut Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melalui akaun twitter mereka, @hockeymalaysia , skuad negara dikejutkan dengan jaringan pembukaan India seawal minit kedua apabila kapten India, Vivek Sagar Prasad, menjaringkan gol pembukaan.

Namun tiga minit berselang, skuad muda negara menyamakan kedudukan melalui gol padang Firdaus Rosdi.

Bagaimanapun, beberapa saat selepas Malaysia menjaringkan gol penyamaan pada minit kelima, Vivek sekali lagi meletakkan India di hadapan dan kedudukan 1-2 itu kekal sehingga rehat.

Empat minit selepas perlawanan bersambung, Akhimullah Anuar Esook menyamakan kedudukan 2-2 dan pada minit ke-17, Amirul Hamizan Azahar meletakkan Malaysia di hadapan.

Seminit selepas itu, Akhimullah sekali lagi menjaringkan gol untuk memberikan kemenangan kepada Malaysia.

Pingat gangsa acara hoki lima sebelah itu menjadi milik pasukan tuan rumah, Argentina, yang menewaskan Zambia 4-0.

"Saya sangat bersyukur di atas kejayaan meraih pingat emas di Buenos Aires," kata Muhammad Noor Firdaus Rosdi

"Kami bukan pasukan pilihan tetapi persembahan pasukan meningkat dalam perlawanan demi perlawanan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, rakan-rakan, jurulatih dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan kami."

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen