Yang di-Pertuan Agong mahu Malaysia kejutkan Great Britain

Oleh Staff Writer 11 Oktober 2019 1194
Yang di-Pertuan Agong mahu Malaysia kejutkan Great Britain
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan
agar skuad hoki negara melakar sejarah dengan mengalahkan Great Britain dalam perlawanan
kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, bulan depan.


Skuad hoki lelaki kebangsaan bakal berdepan Great Britain bagi perlawanan kelayakan Tokyo
2020 susulan majlis undian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Switzerland, bulan lalu.

Keberangkatan baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah, ke Majlis
Minum Petang bersama barisan skuad negara memberikan kata-kata amanat dan semangat
buat pasukan kebangsaan dalam memburu slot ke Tokyo. 

"Kalau kami yakin dan bersatu hati untuk memecahkan sejarah baru, menempah peluang ke Jepun nanti, sudah tentu kami boleh berjaya," katanya.

Dua perlawanan kelayakan tersebut dijadualkan berlangsung di Pusat Hoki dan Tennis Lee
Valley, London pada 2 dan 3 November depan.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, yakin
skuad hoki lelaki kebangsaan mampu menamatkan kemarau 20 tahun melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Saya rasa ketua jurulatih, Roelant Oltmans, serta pasukan kejurulatihan telah berikan yang terbaik. Kami juga lihat pemain berlatih dengan gigih. Saya yakin kami akan lakar kejutan ke atas Great Britain pada 2 dan 3 November nanti," katanya.

Skuad hoki negara bakal menjalani latihan di Genting Highlands untuk membiasakan diri dengan
cuaca sejuk di London nanti.

Seramai 21 pemain berada dalam skuad kebangsaan setakat ini dan seorang akan digugurkan
selepas menamatkan latihan selama tiga hari di sana.

Kali terakhir skuad hoki negara layak ke temasya Olimpik adalah pada tahun 2000 di Sydney,
Australia.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen