Jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Wallace Tan, menuntut kebangkitan pakar pukulan sudut penalti atau Malaysia akan berdepan masalah untuk menewaskan New Zealand dalam penentuan tempat kesembilan hingga 12 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Najmi Farizal Jazlan dan Firdaus Omar gagal menjaringkan sebarang gol menerusi tolakan terus selepas tiga perlawanan.

Ia antara punca Malaysia gagal ke suku akhir kerana terpaksa mengharapkan jaringan padang.

Justeru, Wallace akan mencari jalan penyelesaian untuk berdepan New Zealand, esok.

“Kami akan cuba dalam perlawanan berdepan New Zealand, kami perlu memperbaiki permainan kami dan memastikan tiada kesilapan ketika melakukan pukulan sudut penalti,” jelas Wallace.

“Saya berasakan saya dan rakan sepasukan harus memberikan tumpuan dan tidak mempersiakan peluang untuk menjaringkan gol,” kata Najib Abu Hassan, kapten skuad pembangunan negara.

Malaysia menjaringkan empat gol selepas tiga perlawanan dengan hanya satu jaringan menerusi lantunan semula pukulan sudut penalti.

Jika pakar pukul sudut penalti negara gagal bangkit, peluang Malaysia mengulangi kejayaan menumbangkan New Zealand ketika Piala Sultan Johor, bulan lalu, dilihat samar.

Malah, tugas penyerang akan menjadi lebih berat.

“Saya sebagai penyerang perlu menghasilkan sesuatu atau mencari faul bagi mendapatkan pukulan sudut penalti,” ujar penyerang negara, Zulhamizan Abbas.

Malaysia menamatkan peringkat kumpulan di tempat ketiga manakala Belgium mengungguli carta sementara Belanda di kedudukan kedua.