Jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Wallace Tan, bangga dengan sikap positif pemain dan pegawai sehingga pasukan itu meraih tempat ke-11 dalam Piala Dunia Remaja 2016 walaupun hanya seminggu membuat persiapan.

Siapa sangka Malaysia mampu meraih tangga ke-11 apabila menumbangkan Austria 2-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar di Stadium Dyhan Chand, semalam.

Pada awalnya, banyak perdebatan untuk tidak menghantar pasukan itu ke Lucknow, India kerana bimbang menjadi mangsa belasahan.

Realitinya, pencapaian kali ini lebih baik berbanding edisi 2001 dan 2009, di mana ketika itu Malaysia membuat persiapan selama empat tahun.

"Saya bangga dengan pencapaian pasukan kami. Dengan tidak banyak masa yang kami ada, kami dapat tempat yang ke-11 . Yang penting, pemain muda kita dapat bermain dengan pemain antarabangsa yang lain," katanya.

Pencapaian itu juga bermakna Malaysia pasukan kedua terbaik Asia, mengatasi Jepun dan Korea Selatan yang layak secara merit.

Jurulatih Austria, Cedric D'Souza, turut memuji ketenangan pemain negara, terutama ketika mengambil penalti.

"Mereka sangat bagus. Mereka kuat dan melakukan tugas dengan baik. Penjaga gol juga bermain dengan baik," katanya.