Wallace nafi sindrom skuad senior jangkiti skuad remaja

Oleh Staff Writer 15 Disember 2016 0
Wallace nafi sindrom skuad senior jangkiti skuad remaja

Jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Wallace Tan, menafikan anak buahnya mula dijangkiti sindrom pasukan senior kebangsaan yang kerap hilang aksi konsisten pada hujung permainan.

"Kalau dua pemain telah mendapat dua kad kuning, situasi itu menyukarkan kami, apatah lagi masa juga sudah semakin suntuk.

"Di pentas Piala Dunia seperti ini, setiap perlawanan adalah penting. Tidak kira siapa pun pihak lawan, pemain perlu berikan segala-galanya," jelas Wallace.

Malaysia tewas 1-3 kepada New Zealand  dalam aksi penentuan tempat ke-9/12 Piala Dunia Remaja 2016, semalam.

New Zealand bijak mengambil kesempatan menjaringkan dua gol pantas, termasuk ketika Malaysia beraksi dengan sembilan pemain, pada hujung permainan.

Situasi ini mirip masalah yang kerap melanda pasukan senior kebangsaan sejak beberapa tahun lalu.

Ia perlu diselesaikan segera kerana majoriti pemain skuad pembangunan negara akan melebihi usia 21 tahun Januari depan, sekaligus meninggalkan saingan peringkat remaja.

"Kami melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya. Disebabkan saya dan Aidid dikenakan kad, New Zealand mengambil peluang itu untuk meledak gol," ujar kapten skuad hoki negara, Mohd Najib Abu Hassan.

Sementara itu, pengendali New Zealand, Bryce Collins, gembira percaturan pukulan sudut penalti menjadi.

Kemenangan ini membalas dua kekalahan mereka di tangan Malaysia dalam kempen Piala Sultan Johor, bulan lalu.

"Kami memiliki kelebihan ketika situasi pukulan sudut penalti, jadi kami menggunakan kelebihan itu untuk menjaringkan gol. 

"Permainan Malaysia cukup berani hari ini, mereka juga bertahan dengan baik," jelasnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen