Wallace: Jangan pandang rendah kebolehan New Zealand

Oleh Ammar Hakim 14 Disember 2016 1
Wallace: Jangan pandang rendah kebolehan New Zealand

Jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Wallace Tan, mengingatkan pemainnya jangan memandang rendah terhadap kebolehan New Zealand menjelang penentuan tempat kesembilan hingga 12 Piala Dunia Remaja 2016, petang ini, dengan rekod pertemuan memihak Malaysia.

Malaysia telah menumbangkan dua kali New Zealand dua kali ketika Piala Sultan Johor, bulan lalu.

Statistik itu meningkatkan keyakinan pemain negara bahawa mereka ada peluang yang baik untuk menang, sekali gus layak ke penentuan tempat ke-9/10.

Bagaimanapun, Wallace mengesan perubahan besar New Zealand sepanjang laluan mereka meraih tangga ketiga Kumpulan C.

“Mereka telah berlatih lama bagi persiapan Piala Dunia Remaja kali ini, saya dapat melihat terdapat beberapa pemain tidak beraksi tempoh hari, jadi saya menjangkakan perlawanan yang sukar,” katanya.

New Zealand pula sudah sedia membalas dendam kekalahan dalam Piala Sultan Johor.

Kehadiran tiga pemain yang beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 menyaksikan skuad junior Black Stick hanya digagalkan perbezaan gol untuk terlepas tiket ke suku akhir.

“Pertemuan dengan Malaysia sering kali menjadi perlawanan yang sangat penting untuk kami, terdapat beberapa pemain yang hadir daripada skuad Olimpik Rio, dan mereka menjadi kunci utama untuk menewaskan Malaysia,” jelas jurulatih New Zealand, Bryce Collins.

Sementara itu, pemain yang terbabit dengan pukulan sudut penalti, diketuai Najmi Farizal Jazlan, diarah mengambil hampir 100 gerakan itu pada sesi latihan terakhir sebelum berdepan New Zealand.

Jika masalah ini dapat diselesaikan, peluang lebih cerah untuk menumbangkan New Zealand.

“Terdapat beberapa perkara yang harus kami perbaiki sebelum perlawanan ini. Kami berharap untuk memberikan yang terbaik ketika berdepan New Zealand,” kata Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, penyerang skuad pembangunan negara.

“Persiapan kami kelihatan lebih baik selepas melakukan banyak gerakan dan berharap kami mampu menjana sesuatu dalam perlawanan akan datang,” ujar Amirul Aideed Md Arshaad, pertahanan skuad pembangunan negara.

“Saya berpendapat kami tidak akan berdepan masalah jika memberikan tumpuan sepanjang perlawanan. Kami akan menonton semula prestasi kami dan cuba untuk memperbaikinya,” jelas kapten skuad pembangunan negara, Najib Abu Hassan. 

Ia sebagai langkah terakhir untuk memperbaiki kesilapan apabila Malaysia gagal menjaringkan gol menerusi tolakan terus pukulan sudut penalti sepanjang peringkat kumpulan.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen