Pengendali skuad Terengganu Hockey Team (THJT), I. Vickneswaran, yakin pasukannya dapat membentuk keserasian di sebalik tempoh persiapan singkat untuk menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim 2019.

Tidak dinafikan reputasi THT sebagai antara pasukan utama dalam LHM menjadikan mereka pilihan bagi kempen musim baru nanti.

Namun, mereka berdepan kesuntukan masa untuk menjalani persiapan berbanding beberapa pasukan lain.

Kesemua pemain tempatan hanya dapat dikumpulkan bersama Rabu lalu dan tempoh yang ada bakal dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mencari rentak.

Mereka diperkuatkan dengan empat pemain kebangsaan, iaitu Nabil Fiqri Mohammad Noor, Azri Hassan serta gandingan adik beradik, Fitri dan Faizal Saari, manakala tonggak import dijangka tiba hujung minggu ini, termasuk bintang Argentina, Pablo Xavier Travisan dan Gonzalo Merino.

"Sebahagian daripada pemain akan tiba hujung minggu ini, jadi saya harap Isnin nanti kelibat import sudah boleh dilihat. Pemain lain akan tiba awal Januari nanti.

"Walaupun kami pasukan terakhir yang membuat persiapan tetapi setakat ini, semua berjalan lancar dan kerjasama daripada pemain muda dan senior sangat positif, termasuk pihak pengurusan," kata Vickneswaran yang ditemui ketika aksi persahabatan pramusim di antara THT dan TNB di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.

Beliau juga menjelaskan THT turut merancang untuk mengadakan dua lagi aksi persahabatan susulan aksi itu dengan kemungkinan berdepan Maybank serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tatkala ia menjadi medan sesuai buatnya menilai kemampuan pemain sebelum kempen LHM dimulakan dengan aksi Piala Tan Sri P. Alagendra, 3 Januari ini.

"Yang pasti, apa yang kami jalani dengan pemain sedia ada dapat membentuk skuad. Kami serius menghadapi saingan LHM, jika tidak THT tidak akan menghantar pasukan.

"Setakat ini, saya jamin kami akan memberikan persembahan terbaik."