I. Vickneswaran terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Terengganu Hockey Team (THT) biarpun membantu pasukan gergasi itu menjuarai Piala TNB dan Piala Sumbangsih 2019.

THT tidak menyambung kontrak jurulatih berkenaan menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM), 10 Januari depan.

Keputusan itu mengejutkan kerana bekas pemain tengah kebangsaan tersebut telah membantu THT untuk meraih dua trofi selain layak ke final Piala Tan Sri P. Alagendra.

"Saya berasakan telah melalui pengalaman yang bagus kerana dalam saingan LHM yang lalu, saya hanya mempunyai tempoh seminggu untuk mempersiapkan pasukan itu.

"Kami layak ke tiga pentas final dan menang dua kejuaraan.

"Ia rekod bagi Terengganu sepanjang menyertai LHM," katanya.

Pasukan Pantai Timur itu dijangka mendapatkan khidmat jurulatih Korea Selatan, Seo Jong-ho, untuk menghadapi LHM 2020.

Bagi empat kuota pemain import pula, bekas juara berganda LHM itu akan mendapatkan sentuhan pemain Korea Selatan dan Pakistan.

Vickneswaran menambah: "Kepercayaan juga harus diberikan kepada pemain tempatan kerana ia penting buat pasukan kebangsaan.

"Kalau kami nak berjaya di pentas antarabangsa dan bukan setakat layak ke Sukan Olimpik serta Piala Dunia, bahkan mempunyai ranking yang baik."