Timbalan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), I Vickneswaran, kecewa dengan sikap sambil lewa beberapa pegawai badan induk itu, yang memilih untuk membisu ketika dilanda isu.

Tiada sebarang perbincangan atau mesyuarat khas diadakan untuk membincangkan nasib KLHA selepas presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, digantung oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

KLHA umpama hilang nakhoda selepas Megat Shahriman tidak dibenarkan terbabit dengan sebarang aktiviti hoki selama 18 bulan.

Persatuan itu sepatutnya mengambil tindakan pantas untuk menentukan hala tuju mereka, terutama menjelang saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) Januari depan.

"Sudah tentu saya akan memangku tanggungjawab presiden tetapi apa-apapun kami perlu ada satu keputusan rasmi," katanya kepada Nadi Arena.

"Setakat ini tidak ada sebarang komunikasi daripada setiausaha dengan saya.

"Saya tidak mendapat apa-apa maklumat daripada setiausaha, jadi saya tidak tahu apa yang sedang berlaku dan akan berlaku kerana tiada sama sekali mesyuarat atau perbincangan setakat ini," katanya.

KLHA menjadi badan induk kepada pasukan LHM seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Hockademy dan Maybank.