Jurulatih hoki negara, Stephen van Huizen, mempertahankan keputusannya menyimpan 'set piece' pukulan sudut penalti sepanjang peringkat liga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia kerana menaruh keyakinan terhadap keputusan pemain.

Ketika perlawanan yang menyaksikan Malaysia tewas 1-2 di tangan India malam tadi, skuad bimbingan van Huizen itu dihadiahkan enam pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, pakar pukulan sudut penalti seperti Muhammad Razie Abdul Rahim, Faizal Saari dan Shahril Saabah memilih untuk melakukan tolakan terus, dengan hanya satu gol daripada Razie berjaya menewaskan penjaga gol India, Akash Chikte.

"Kami tidak melakukannya (set piece) hari ini tetapi mungkin kami akan melakukannya dalam perlawanan lain," kata van Huizen. "Kami mempunyai peluang untuk melakukan set piece dan memenangi perlawanan tetapi pemain melakukan pukulan terus. Kami menyokong keputusan yang diambil oleh pemain.

"Mereka kelihatan begitu yakin selepas menjaringkan gol tetapi untuk perlawanan akan datang, mungkin set piece bakal menjadi begitu penting untuk kami."

Dalam pada itu, Malaysia perlu sekurang-kurangnya meraih keputusan seri menentang Korea Selatan di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan malam ini untuk muncul naib juara liga.

Menurut kapten, Sukri Mutlib, pasukannya mampu mengelak tangga keempat liga untuk sekali lagi bertemu India, dalam separuh akhir.

"Kami boleh menewaskan Korea Selatan," katanya. "Saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi dengan rakan-rakan sepasukan."

"Kami perlu lebih fokus dan melakukan analisis corak permainan Korea Selatan. Apa yang paling penting, walaupun kami tewas (menentang India), kami tetap akan berdiri bersama-sama dan tidak akan menyalahkan sesiapa atas kekalahan ini."

Bagi penjaga gol negara, S. Kumar, setiap perlawanan adalah sukar buatnya kerana memikirkan tanggungjawab besar yang dipukul di benteng terakhir.

"Bertemu Korea Selatan semestinya kami ingin mencari kemenangan, perbaiki kedudukan dalam carta dan akan menentang sesiapa sahaja dalam separuh akhir," katanya.

Malaysia gagal melebarkan kemenangan apabila tewas 1-2 kepada India dalam perlawanan keempat malam tadi, menyaksikan skuad negara berada di tangga kedua dengan mengumpul sembilan mata. India berada di kedudukan teratas dengan 13 mata.

Perlawanan Malaysia dan Korea Selatan malam ini akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena 801 & 802 HD.