Van Huizen tidak panik hilang beberapa tonggak

Oleh Staff Writer 11 November 2016 4
Van Huizen tidak panik hilang beberapa tonggak
Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, tidak panik apabila hilang beberapa pemain menjelang Festival Hoki Antarabangsa Melbourne yang akan bermula 23 November ini kerana sudah sedia dengan 'Pelan B'.

Beberapa pemain tidak mendapat pelepasan atau belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Malaysia dijangka hilang khidmat Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor, yang terikat dengan kursus latihan asas inspektor polis sementara Mohd Marhan Abd Jalil serta Izad Hakimi Jamaluddin masih belum pulih daripada kecederaan.

Van Huizen, bagaimanapun, sudah memanggil beberapa pemain skuad pembangunan sambil penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, diterima menyertai kem latihan sebagai pelatih manakala Baljit Singh Charun Singh hampir pulih daripada kecederaan hamstring.

"Kami telah bersedia jika mereka tidak dapat bersama pasukan, Baljit sebelum ini mengalami kecederaan tetapi kini sudah menjalani latihan penuh.

"Rashid Baharom dan Izad masih lagi mengalami kecederaan, kami mungkin akan membawa mereka ke Melbourne. 

"Kami mempunyai pemain-pemain lain yang berlatih bersama pasukan dan bersedia untuk berangkat.

"Tetapi jika kami tidak mempunyai pemain yang cukup, kami akan membawa beberapa pemain daripada skuad pembangunan," ujarnya.

Dalam pada itu, Baljit yang sudah mula menjalani latihan penuh bersama pasukan, yakin dia telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di Melbourne.

"Sudah tentu saya mahu beraksi di Melbourne kerana ia merupakan perlawanan terakhir.

"Saya telah mula melakukan larian dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan saya tidak berasa yang kecederaan tersebut akan berulang.

"Saya sudah bersedia untuk kembali beraksi," jelas Baljit.

Festival Hoki Antarabangsa Melbourne merupakan kejohanan terakhir untuk Malaysia tahun ini.

Ia sebagai persiapan bagi menghadapi pusingan kedua Liga Dunia di Trinidad & Tobago, Mac tahun depan, yang juga kelayakan Piala Dunia 2018.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen