Pertukaran pemain tetap dilakukan oleh ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, bagi memastikan setiap pemain bukan sahaja bersedia menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan, malah dua lagi temasya utama pada tahun hadapan.

Van Huizen enggan mengekalkan 18 pemain yang mewakili Malaysia dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia di London, bulan lalu, bagi menghadapi Sukan SEA di laman sendiri.

Dia akan melakukan penggiliran pemain agar mereka bersedia untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 yang turut menjadi pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Pingat emas Sukan SEA tetap menjadi keutamaan tetapi bukan dalam Piala Asia 2017 berikutan skuad negara telah pun layak secara automatik ke Piala Dunia 2018.

"Piala Asia memberi ruang kepada kita untuk mengetengahkan muka-muka baru dan mencuba pendekatan yang berbeza.

"Ia bukan pertandingan wajib menang. Jika tidak, sudah tentu saya akan menamakan barisan terbaik.

"Kami akan menilai situasi dan bagaimana kami boleh menggilap pemain memandangkan kami akan menghadapi dua kejohanan penting pada 2018," ujarnya.

Van Huizen dan barisan pemain lelaki serta wanita negara hadir dalam satu majlis penyampaian penajaan kasut daripada Asics, hari ini.

Tajaan bernilai lebih RM100,000 itu menyaksikan setiap pemain kebangsaan menerima dua pasang kasut menjelang Sukan SEA kali ini.

"Kami sudah lama memohon penajaan kasut kerana sukan perlukan kasut yang baik.

"Asics sememangnya mengikuti perkembangan KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) dan Alhamdulillah selepas mengecapi beberapa kejayaan, Asics sudi membantu kami," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.