Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, lega apabila jentera serangan cemerlang ketika membelasah Jepun 7-2 malam tadi, yang menyaksikan semua penggempur Malaysia sudah mencatat nama sebagai penjaring dalam Trofi Juara-Juara Asia.

Penyerang negara membuktikan ketajaman menjaringkan gol padang untuk membantu Malaysia muncul pasukan pertama ke separuh akhir.

Apa yang lebih menggembirakan, penyerang seperti Rashid Baharom dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, turut meledak ketika tumpuan lebih banyak diberikan kepada penyerang ternama negara.

Prestasi itu muncul tepat pada masanya apabila Malaysia hanya mampu meraih satu pukulan sudut penalti.

“Selepas kami selesa dalam permainan ini, kami dapat bermain dengan lebih baik dan mencari peluang melakukan hantaran ke dalam kotak D, kami telah banyak menjaringkan gol yang menarik,” kata Van Huizen.

Malaysia adalah pasukan pertama ke separuh akhir apabila meraih tiga kemenangan berturut-turut.

Selain Rashid dan Aiman, turut mencatat nama sebagai penjaring ialah Nabil Fiqri Mohd Noor, Faizal Saari (dua gol), Firhan Ashaari dan Fitri Saari.

Jepun menyumbat dua gol di hujung permainan, namun tidak cukup untuk menghalang kekalahan ketiga mereka dalam kejohanan ini.

"Pemain gagal mengekalkan rentak konsisten. Mereka beberapa kali melakukan kesilapan dan ia tidak boleh berlaku ketika menentang lawan seperti Malaysia yang memiliki penyerang yang pantas,” kata jurulatih Jepun, Takahiko Yamabori.