Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, memberi lampu hijau untuk anak-anak buahnya menyertai liga luar negara dengan syarat mereka perlu melaporkan diri dalam kem kebangsaan pada 24 Disember depan.

Van Huizen memberikan kelonggaran untuk pemain-pemain kebangsaan ke luar negara kerana mereka sudah melalui jadual yang padat sejak awal tahun ini, dengan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh sebagai kejohanan terakhir pada 2017.

Bagaimanapun, mereka perlu patuh dengan syarat untuk pulang ke tanah air sebelum 24 Disember nanti.

“Saya tidak rasa ketika ini ada sebarang halangan untuk pemain-pemain beraksi di luar negara kerana kami telah memberitahu pemain-pemain kebangsaan bahawa mereka bebas untuk ke sana sebelum 24 Disember kerana akan menghadapi kejohanan tempatan selepas itu.

“Apa yang mereka perlu lakukan adalah mengikuti proses yang dijalankan dan dalam masa sama, mereka juga perlu peka dengan program yang telah ditetapkan,” katanya

Selain adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari yang ke Liga Oman, beberapa pemain kebangsaan turut menyuarakan hasrat untuk ke luar negara, namun mereka perlu memilih liga yang sesuai untuk mematuhi syarat pulang seperti yang ditetapkan.