Kapten Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Najmi Farizal Jazlan, lega apabila venue utama mereka, Stadium Hoki Kuala Lumpur, tetap tersenarai dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) 2017 walaupun berdepan masalah lampu limpah.

Keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bermakna UniKL, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat berkongsi venue utama mereka musim depan.

Walaupun Stadium Hoki Kuala Lumpur hanya akan menganjurkan perlawanan waktu siang, namun ia sudah memadai, terutama buat UniKL yang sedang memburu trofi LHM.

"Kami gembira kerana sebelum ini terdapat konflik berkaitan dengan stadium. Jadi, tiada masalah untuk penyokong UniKL datang menyokong kami," jelas Najmi.

Musim baru LHM akan dimulakan dengan Piala Tan Sri P. Alagendra, bermula 6 Januari depan.

Stadium Hoki Kuala Lumpur akan jadi venue dua perlawanan, iaitu UniKL menentang UITM-KPT, diikuti UPM-KPT menentang Maybank.

Tiga venue lain di Lembah Klang ialah Stadium Hoki Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, Kementerian Pendidikan Malaysia, Bangsar dan Stadium Hoki Tun Razak.

Bagaimanapun, Sapura selaku juara bertahan tidak beraksi susulan menarik diri daripada LHM 2017.