Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berdepan tugas berat menjelang saingan Piala Tan Sri P. Alagendra apabila tiga pemain importnya lewat tiba, sekali gus menjejaskan persiapan menghadapi Selangor Darul Ehsan dalam pusingan pertama, Rabu ini.

UniKL perlu menunggu sekurang-kurangnya hingga separuh akhir untuk mengumpulkan kesemua enam pemain importnya.

Setakat ini, hanya penjaga gol, David Harte, pertahanan, Sander de Wijn, dan pemain tengah, Kieran Govers, yang akan tiba sebelum berdepan Selangor.

Baki tiga lagi pemain, iaitu Glenn Turner, Jeroen Hertzberger dan Timothy Deavin dijadualkan menyertai pasukan jika layak ke separuh akhir.

"Perkara itu tidak dapat dielakkan kerana pemain-pemain import yang bakal hadir tidak dapat beraksi lebih awal bersama pasukan," kata jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

Kehadiran pemain import berkualiti meyakinkan pihak pengurusan UniKL meletakkan sasaran untuk menjulang satu trofi pada musim akan datang.

Mereka dijangka berdepan cabaran sengit gergasi Liga Hoki Malaysia (LHM), Terengganu Hockey Team dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Sementara itu, aksi persahabatan menentang TNB Thunderbolt di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil menyaksikan Rafizul Ezry Mustafa menjadi tumpuan selepas membantu kelab An-Nasr menjuarai Liga Oman, minggu lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

"Saingan di Liga Oman tidak sama seperti di Malaysia, saya perlu mempertingkatkan lagi mutu permainan menghadapi saingan LHM 2018," kata Rafizul.

"Cabaran sangat banyak kerana rata-rata pemain yang diturunkan masih muda dan masih dalam proses mendapatkan pengalaman baru," kata kapten TNB Thunderbolt, Mohd Sallehun Abd Ghani.