Beberapa pemain Pakistan diketuai oleh penyerang, Muhammad Umar Bhutta, yang memiliki pengalaman luas di Liga Hoki Malaysia (MHL), berkongsi rahsia kelemahan tuan rumah menjelang aksi sulung Trofi Juara-Juara Asia, petang ini.

Lima pemain Pakistan pernah beraksi di MHL. Umar contohnya sudah menyarung jersi Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), sejak 2012, sekali gus arif mengenai gaya permainan hoki Malaysia.

Maklumat itu dikongsi bersama rakan sepasukannya menjelang aksi pembukaan menentang Malaysia, petang ini.

"Pengalaman yang cukup baik beraksi di MHL bersama pemain utama Malaysia seperti Razie (Muhammad Razie Abdul Rahim) dan Nabil (Nabil Fikri Mohd Noor).

"Saya berasa satu perlawanan yang hebat bakal berlangsung menentang Malaysia, kerana kami pernah bertemu dalam beberapa perlawanan, dan kami telah memahami corak perlawanan masing-masing. Jadi tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku," ujar Umar.

Turut senada dengan Umar ialah pemain pertahanan Pakistan, Ahmad Shakeel Butt, yang menyatakan Malaysia mempunyai pemain yang cukup berpengalaman serta berbahaya pada situasi pukulan sudut penalti.

"Pukulan sudut penalti pastinya berbahaya kerana pemain seperti Razie, merupakan pemain yang cukup hebat. Selain itu, Malaysia juga mempunyai pemain yang cukup berpengalaman seperti, Faizal Saari, Fitri Saari, mereka merupakan pemain yang cukup bagus," ujar Shakeel.

Begitupun, Pakistan dijangka bergelut tanpa kapten, Muhammad Irfan, yang masih berdepan masalah visa.

Ia tamparan hebat buat juara bertahan ini memulakan kempen memburu kejuaraan hatrik Trofi Juara-Juara asia 2016.