Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, menuntut pemain mengubah sikap menjelang aksi ketiga Trofi Juara-Juara Asia menentang Jepun, esok, untuk merebut peluang awal menempah tiket ke peringkat separuh akhir.

Dua kemenangan berturut-turut bukan jaminan untuk Stephen berasa lega kerana masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki, termasuk apabila pemain mudah berpuas hati apabila mendahului lawan.

Situasi itu berlaku pada hujung permainan ketika menewaskan China 5-1, aspek yang dianggapnya perlu dielakkan, esok.

"Sudah jelas, mereka menganggap permainan sudah berakhir dan mereka akan menang.

"Kami sepatutnya berwaspada dan berjuang sehingga tamat permainan dalam setiap perlawanan.

"Bukan sekadar pada penghujung permainan, tetapi juga ketika menuju minit-minit akhir suku permainan.

"Ini dibuktikan apabila kami dihukum Pakistan dalam situasi seperti itu (dua hari lalu)," tegas Stephen.

Ketua pasukan Malaysia, Sukri Mutalib, akur dengan pesanan ketua jurulatihnya itu tetapi dalam masa yang sama, mereka berhak menikmati detik kemenangan mereka juga dengan berkata, "Memang kami akui, selepas tamat permainan kami tidak begitu gembira. Tapi saya memberitahu kepada rakan sepasukan bahawa kami perlu berasa gembira dengan dua kemenangan ini.

"Jadi kami perlu melihat kembali aksi rakaman perlawanan untuk mencari punca mengapa kami bergelut dalam tempoh lima minit terakhir permainan."

Prestasi Malaysia tidak begitu baik ketika menentang Jepun pada tahun ini.

Malaysian Hockey Tigers seri sekali, tewas tiga perlawanan pada aksi persahabatan di Kakamigahara, Jepun, Jun lalu.

Begitupun, Jepun turut bimbang dengan ancaman tuan rumah berdasarkan penilaian semasa jurulatihnya, Takahiko Yamabori.

"Malaysia bermain baik setakat ini. Mereka sudah banyak meningkat terutama menerusi pukulan sudut penalti.

"Kami sedang menganalisis rakaman video untuk melihat apa yang perlu dilakukan untuk cipta kejutan," katanya.