Penjaga gol hoki negara, S. Kumar, akan berdepan ujian sebenar menentang India dalam aksi keempat Trofi Juara-Juara Asia malam ini, dengan kemenangan akan mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai juara kumpulan..

Gawang Malaysia hanya bolos lima gol selepas tiga perlawanan setakat ini.

Ia membuktikan kubu negara antara yang paling kebal di Kuantan, sekali gus memudahkan tugas Kumar.

Bagaimanapun, ujian sebenar ialah menentang India yang memiliki ramai penyerang berbakat seperti Ramandeep Singh dan pakar pukulan sudut penalti, Rupinder Pal Singh.

“Kami menjangkakan India adalah pesaing terkuat dalam kejohanan ini. Kami perlu bekerja keras ketika berdepan mereka, saya memiliki tanggungjawab yang besar untuk memastikan kami menjuarai peringkat kumpulan,” kata Kumar.

Malaysia perlu menang untuk menamatkan saingan liga selaku juara kumpulan, sekali gus akan berdepan pasukan tangga keempat dalam separuh akhir.

Ia merupakan laluan lebih mudah untuk membuat penampilan sulung dalam final.

Kumar, 37 tahun, muncul pemain tertua kejohanan dan antara yang paling berpengalaman.

Penjaga gol kelahiran Tampin, Negeri Sembilan ini diharap dapat mengekalkan aksi konsisten dalam misi menjuarai saingan liga.

India merupakan musuh tradisi hoki Malaysia dan pernah bertemu antaranya dalam Piala Sultan Azlan Shah 2015 di mana skuad negara menang 3-2.

Namun, India membelasah Malaysia 6-1 dalam kejohanan yang sama April lalu.

Selain itu, The Malaysian Hockey Tigers juga tewas kepada India dalam separuh akhir Liga Dunia 2015.